Di dalam surah an-Nur ayat 26, Allah s.w.t. berfirman maksudnya: "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik….."
(baca hingga ke akhir ayat) Ayat ini diturunkan bersempena dengan peristiwa "al-ifki", iaitu ketika Sayyidatina ‘Aisyah r.a. difitnah oleh puak-puak munafiq di Madinah telah melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama Sofwan bin Mu’attol.
Allah s.w.t. mempertahankan kesucian ‘Aisyah r.a. dan menegaskan bahawa jika benarlah ‘Aisyah itu jahat, masakan dia dapat mendampingi seorang manusia paling suci seperti Muhammad s.a.w. dan amat disayangi pula oleh baginda? Pengajaran yang dapat diambil dari ayat ini ialah hubungan intim antara pasangan suami isteri itu hanya berlaku apabila wujud persamaan dari segi akhlak serta cara hidup.
Orang yang mulia akhlaknya tidak akan bahagia di sisi orang yang jahat dan begitulah sebaliknya.
Ini tidak menafikan adanya jodoh antara dua insan yang berbeza matlamat serta cara hidupnya seperti Asiah dengan Fir’aun dan pasangan-pasangan lain yang dapat kita saksikan sepanjang sejarah manusia. Semua itu adalah ujian
. Lagipun hati manusia ini sering berbolak balik. Hari ini baik, esok berubah, kemudian kembali baik semula. Allahu A’lam.
Apabila kita menyebut perkahwinan, dalam masyarakat kita secara umum membayangkan tentang kehidupan berkelamin dan lebih condong kepada kenikmatan seks. Anggapan dan sikap sedemikian adalah jauh melencong daripada hakikat sebenarnya. Bayangan sebegitu adalah hasil didikan dan pengaruh Barat. Islam, sesungguhnya lebih menonjolkan hakikat dan matlamat sebenar berumahtangga. Untuk mengubah pandangannya yang salah dan menjelaskan matlamat sebenar berumahtangga, di negara kita Malaysia, telah diadakan Kursus Perkahwinan, kepada calon-calon suami-isteri. Di situ kita dijelaskan dari awal hingga akhir tentang kehidupan berumahtangga sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Berdasarkan hadis di atas juga, terdapat beberapa prinsip pra perkahwinan. Pertama, kualiti fizikal calon isteri perlu diperhatikan. Adakah bakal isteri itu seorang yang mampu melahirkan anak di samping sihat tubuh badannya? Kedua, calon isteri hendaklah seorang bermoral tinggi. Seperti Firman Allah S.W.T. yang bermaksud;
"Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk. Dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk, sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik"
(Surah an-Nur:26)
Ayat di atas menerangkan bahawa seseorang lelaki yang baik (akhlaknya) harus memilih wanita yang baik (akhlaknya). Jika berlaku sebaliknya, bermakna sudah tidak mengikut sunnatuLlah. Kesannya membuah hasil yang tidak baik. Sekiranya seseorang bapa itu mengeluh tentang tingkah laku anak-anaknya yang buruk, dia seharusnya menilai kembali pada saat memilih bakal isterinya sebelum ini.
"Dulu sebelum berumahtangga, adakah saya telah memilih calon dengan betul?" Jika anak-anak sudah berani membantah cakap, tidak mematuhi nasihat orang tua, bertindak liar dan sebagainya yang tidak menyenangkan, dari sudut tertentu, tidak boleh disalahkan anak-anak. Diri sendiri yang patut disalahkan. Adakah kita sebelum ini telah memenuhi tanggungjawap memilih calon isteri yang baik sudah terlaksana sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W?
Dari hadis Rasulullah S.A.W. itu juga jelas kepada kita bahawa anak-anak yang bersikap liar itu adalah disebabkan juga oleh kedua ibubapanya . Kedua orang tuanya harus diselidik untuk menilai punca keliaran anak-anak. Jika kita sebagai seorang guru atau kaunselor keluarga yang didatangi oleh ibu atau bapa yang mengeluh tentang kenakalan anak-anaknya, harus kita kita bertanya kembali untuk menilai latar belakang ibubapa itu sendiri.
"Sebelum berumahtangga dulu, apakah kriteria Encik dalam memilih calon isteri? Adakah diperhatikan tentang akhlaknya, keturunannya dan sebagainya seperti yang digariskan Islam?"
Malangnya jika jawapannya begini: " Ya! Malangnya saya tidak terfikir begitu. Saya lihat dia cantik, lalu saya cintakannya……. dan dia pun begitu. Akhirnya kami kahwin!"
Rasulullah S.A.W. menerangkan kepada kita, jika seseorang anak itu berkelakuan nakal, harus dilihat tingkah laku dan akhlak si ibunya. Jika ibunya seorang wanita yang baik, dilihat pula akhlak bapanya. Jika bapanya seorang yang kurang sopan, maka wajarlah anak-anaknya bersikap sedemikian. Memang benar kata pepatah Melayu : "Bapa borek, anaknya pun rintik!……"
Seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Dailami: bersabda Rasulullah S.A.W "Pilihlah untuk tempat nuthfah kamu atau air mani kamu, kerana pembulu darah ini merupakan sinar pacaran."